From: ROFEAH SULAIMAN <ah_gen2@yahoo.com.my>
Date: Jul 3, 2007 5:56 PM
Subject: Hutang Pinjaman PTPTN
Assalamualaikum...
Saya merupakan graduan dari jurusan agama, UM 2002 yang telah meminjam wang dari PTPTN berjumlah lebih kurang RM16 000. Pada tahun itu, merupakan tahun pertama kerajaan memperkenalkan PTPTN kepada pelajar Ijazah. Pada pinjaman yang pertama kali inilah, fail senarai nama peminjam dikatakan hilang. So, sehingga sekarang, PTPTN tidak pernah menghantar apa-apa tuntutan bagi bagi bayaran semula wang pinjaman tersebut. Persoalan saya disini ialah, adakah perlu saya melunaskan semula hutang tersebut atau, saya teringat kata YB Dato Hassan Ali mengatakan bahawa, wang tersebut tidak perlu dibayar semula kerana adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menanggung kos yuran pengajian pelajar. Yang manakah perlu saya ikuti?
Jawapan
Akad hutang adalah akad yang digalakkan oleh Islam. Malah dalam di banyak hadith, Rasulullah saw menggalakkan kepada Muslim agar membantu saudaranya seMuslim dengan memberikan hutang kepadanya untuk meringankan bebanannya.
َالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَيْتُ لَيْلَةَ
أُسْرِيَ بِي عَلَى بَابِ الْجَنَّةِ مَكْتُوبًا الصَّدَقَةُ بِعَشْرِ
أَمْثَالِهَا وَالْقَرْضُ بِثَمَانِيَةَ عَشَرَ فَقُلْتُ يَا جِبْرِيلُ مَا بَالُ
الْقَرْضِ أَفْضَلُ مِنْ الصَّدَقَةِ قَالَ لِأَنَّ السَّائِلَ يَسْأَلُ
وَعِنْدَهُ وَالْمُسْتَقْرِضُ لَا يَسْتَقْرِضُ إِلَّا مِنْ حَاجَةٍ
" berkata Rasulullah SAW, aku telah nampak pada malam aku diperjalankan (pada malam isra' mikraj), tertulis di pintu syurga : satu sedekah digandakan pahalanya sebanyak sepuluh kali, manakala 'qard' atau pinjaman tanpa faedah digandakan sebanyak lapan belas kali ganda. Aku lalu bertanya kepada Jibril as : "Kenapa hutang itu lebih baik dari sedekah?". Jibril menjawab : "Kerana peminta (sedekah) meminta sedangkan dirinya mempunyai tetapi penghutang tidak akan berhutang kecuali ketika ia di dalam keadaan terdesak "" (Riwayat Ibn Majah, 2/812)
Namun, Islam juga tidak melupakan tanggungjawab yang harus dilunasi oleh penghutang. Di dalam masalah ini, Islam mewajibkan kepada penghutang untuk melunasi hutang tersebut walau dengan siapa pun ia berhutang berdasarkan hadith di bawah :
الْمُسْلِمُونَ عَلَى
شُرُوطِهِمْ
"Orang Islam adalah mereka yang memegang janji mereka" – Riwayat Abu Dawud
آيَةُ
الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ
خَانَ
"Tanda munafiq itu tiga, sekiranya bercakap ia berbohong, sekiranya berjanji ia memungkiri dan sekiranya diberikan kepercayaan, ia akan mengkhianati" – Riwayat Bukhari & Muslim
Jelas daripada hadith ini bahawa penghutang wajib membayar hutang-hutang tersebut walau siapa pun pemiutangnya hatta kafir sekalipun. Ini kerana ia sudah menandatangani perjanjian tersebut dan wajib baginya untuk mengotakan janji itu.
Kalaulah Islam mewajibkan bayaran hutang kepada golongan kafir, maka lebih utama Islam mewajibkan umatnya membayar hutang tersebut kepada kerajaan kerana duit tersebut adalah milik rakyat. Haram hukumnya kita menggunakan hak orang lain dengan cara yang zalim.
Firman Allah swt : Janganlah kamu memakan harta orang lain dengan cara yang batil.
Bagi saya, anda masih mempunyai tanggungjawab kepada Allah untuk melunasi hutang tersebut sekalipun tidak melanggar undang-undang duniawi. Jadi, sekiranya berat bagi saudara untuk membayar kembali hutang tersebut, saudara disarankan untuk meminta pengecualian dari membayar hutang tersebut berdasarkan akad ibra' (meminta pengurangan) yang disyara'kan di dalam Islam.
Sekiranya tidak mendapat persetujuan dari pihak PTPTN, anda boleh meminta untuk membayar modal pinjaman sahaja iaitu menolak 4% dari modal pinjaman (sekarang 3%) kerana ia termasuk di dalam riba nasiah yang diharamkan oleh Islam.
Sekiranya anda diminta untuk menjelaskan kesemuanya seperti yang termaktub di dalam perjanjian, anda perlu melunasinya seperti yang diminta kerana anda telah berakad dengan akad tersebut dan anda perlu melunasinya sebagaimana yang dijelaskan di atas.
Waalahuu 'Alam
Posted at 09:07 am by al_arawi